Tajuk : KEMELUT KASIH
Genre : Kekeluargaan, Cinta, Dakwah, Humor dan Sedih
Penerbit : DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA
Bilangan muka surat : 451 mukasurat
Komen Penulis : Novel ini paling susah nak buat, dah 3 bulan pun tak habis-habis lagi..
SOROTAN MANUSKRIP:
********************************************************************************
Genre : Kekeluargaan, Cinta, Dakwah, Humor dan Sedih
Penerbit : DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA
Bilangan muka surat : 451 mukasurat
Komen Penulis : Novel ini paling susah nak buat, dah 3 bulan pun tak habis-habis lagi..
SOROTAN MANUSKRIP:
Begitulah. Segalanya telah
ditakdirkan. Lukisan takdir dari Tuhan yang mahu menemukan hati dua insan.
Sejak kemalangan di dapur itu, telah beberapa kali Adi disuap makan. Waktu
solatnya, Piya membawa air dan mengelap anggota wuduknya dengan tuala. Piya
begitu berhati-hati agar tidak berlaku sentuhan. Selain itu, dia juga berusaha
untuk tidak memandang wajah Adi. Dia begitu takut pada godaan. Ingatannya
dikembalikan ke kampung halamannya yang jauh di Sumatera. Dia tidak mahu
melanggar etika kerjanya sebagai pembantu rumah. Dia tahu bahawa layanan itu
pasti akan membuahkan perasaan lain di pihak Adi. Sejak awal lagi Adi telah
menunjukkan kecenderungan untuk mengambil tahu mengenai dirinya. Piya pasti di
dalam hati Adi, tersimpan perasaan yang begitu berbeza dari apa yang
dirasakannya. Piya benar-benar rasa takut.
Bagi pihak Adi pula, pada awalnya
dia benar-benar malu. Namun, setelah beberapa kali dilayani dengan begitu baik,
disuap makan, dan dibantu untuk berwuduk, perasaannya malu berubah menjadi
rindu. Matanya tidak dapat ditahan lagi untuk memandang gadis itu setiap kali
dilayani. Rasa sakit kedua-dua tangannya itu langsung hilang sebaik Piya berada
di sisi. Layanan Piya benar-benar membuatkan Adi terkesima. Dirasakannya,
hatinya telah terbang melayang entah ke mana setiap kali dilayani Piya.
Telah dua kali tukang urut hadir
ke rumah untuk membertulkan ototnya yang terseliuh itu. Adi berasa kurang
senang. Dia benar-benar tidak berharap untuk sembuh. Seumur hidupnya dia tidak
pernah dilayani begitu rupa oleh seorang wanita. Walaupun dia sedar Piya hanya
menunaikan tanggung jawabnya sebagai pembantu rumah, Adi sebenarnya
mengharapkan lebih dari itu. Dia mengharap agar Piya juga punya perasaan
seperti apa yang dialaminya.
Puteri pulang dari asrama dua
hari kemudian. Tempoh yang begitu lama untuk memberi peluang kepada Adi dilayani
Piya. Sebaik pulang, dia meluru melihat abangnya.
“Abang! Allahu akbar. Berbalut
tangan. Kesiannya. Macam mana boleh jatuh”.
“Kenapa lambat sangat balik?”
sergah Adi, seolah-olah tidak puas hati. Namun sebenarnya yang berada di
hatinya pada ketika itu adalah sebaliknya.
“Tak boleh balik cepat, bang.
Tengah ‘exam’lah. Inipun jenuh Puteri minta dari warden. Kalau diikutkan minggu
ni ada gotong royong”.
“Kesian Kak Piya. Abah nak
ditengok, abang pun nak ditengok. Dah jumpa abah?” ujar Adi, seolah-olah masih
marah.
“Dah. Dah jenguk dan dah salam
tadi. Tak apalah. Nanti Puteri suapkan abang makan ye”, Pujuk sibongsu itu.Adi
mengangguk setuju. Namun begitu, di hatinya, hanya Tuhan yang tahu.
Tengah hari itu Puteri menyuapkan
nasi kepada Adi. Namun tidak lama, baru dua sudu disuapkan, Adi sudah membebel.
“Kau ni kasarlah Puteri. Ini
bukan layan namanya. Ini memaksa. Nak tersedak abang dibuatnya”.
“Eh, abang ni. Dah orang layan
banyak songel lah pulak. Meluat betullah. Orang tak balik, disuruh balik. Makan
sendirilah”, Puteri mula berleter.
“Tak lah. Suaplah betul-betul.
Cedok tu, sikit-sikit sudahlah. Macam mana abang nak kunyah penuh macam tu. Sudahlah
sudu tu bukan main besar lagi”.
“Ye lah, ye lah. Puteri ambil
sudu lain”, balas Puteri dengan nada rajuk. Dia bergegas ke dapur. Piya yang
sedang mencuci pinggan, menoleh kearahnya. Dilihatnys wajah Puteri mencuka.
Puteri tercari-cari sudu yang bersaiz lebih kecil.
“Kenapa Puteri?”
“Entah, abang tu. Semuanya tak
kena. Kasarlah. Sudu besarlah.”, bebel Puteri. Piya tersenyum. Dia faham apa
maksud yang tersirat di hati Adi. Namun, segalanya di telan di lubuk hatinya.
Dia membiarkan Puteri melayani abang kandungnya itu. Belumpun beberapa minit Puteri
masuk ke bilik Adi, dia keluar semula ke dapur. Pinggan nasi diletak kasar di
atas meja.
“Loh… kenapa ya?”
“Meluat. Meluat dengan orang
sombong. Dah bawak sudu, complain
nasi keringlah, kuah sikitlah. Huh, biar dia lapar”.
Piya mengeluh panjang.
“Tak apalah Puteri. Duduk ya. Biar
kak Piya tengokkan Bang Adi”, ujarnya, memujuk gadis yang sedang itu. Puteri
memandang Piya dengan wajah yang masih mencuka.
“Biarkan dia, kak Piya. Buat apa
dilayan ‘big boss’ tu. Semua orang dalam rumah ni perangainya macam ‘big
boss’”, bebel Puteri lagi sambil merengus.
“Sabar dik. Biar kak Piya tengok.
Mungkin ada yang tak kena”,ujarnya lalu melangkah ke kamar Adi. Adi terperanjat
melihat Piya masuk dengan pinggan nasi tadi. Piya tidak bercakap banyak, dia
langsung menyuapkan nasi ke mulut Adi. Wajah Adi yang tadinya sugul, berubah menjadi
ceria.
Puteri yang berada di dapur
merasakan sesuatu di hatinya. Dia langsung tidak mendengar sebarang bunyi suara
dari bilik abangnya. Tiada suara marah-marah seperti apa yang berlaku padanya.
Dia mula tidak puas hati. Perlahan-lahan dia berjinkit ke tepi pintu bilik Adi.
Dilihatnya wajah Adi begitu ceria. Dia kelihatan begitu manja dengan Piya. Piya
diam sahaja. Bila Adi bertanya, Piya hanya mengangguk dan menggeleng. Bila Adi
bertanya lagi, Piya hanya menjawab sepatah dua perkataan. Renungan mata Adi
terhadap Piya begitu dalam dan jelas pada pengelihatan Puteri. Puteri
benar-benar kehairanan. Hatinya mulai menyesaki sesuatu.
Puteri masuk ke
ruang tamu. Dilihatnya Adi tunduk membisu. Fakhrul sedang menyampaikan sesuatu
kepadanya. Tuan Malek dan Mami Ainun sedang memerhati. Mata-mata lain
memerhatikan Fakhrul dengan gayanya yang hebat menyampaikan hujah-hujah.
“Adi tak ambil
berat tentang ‘kufu’. Mereka tak sekufu dengan kita. Kemudian hari nanti, banyak
perkara yang Adi terpaksa hadapi. Macam mana Adi nak hidup di kalangan mereka.
Adi bukan pernah susah? Semua yang Adi mahu selama ni Adi dapat bukan?”
“Abang, Adi dah
hidup di rantau orang bukan setahun dua. Adi dah hidup berjauhan sejak di awal
sekolah menengah lagi. Adi dah susah begitu lama. Adi bukan tak ada pendapatan
sendiri. Lagipun Adi bukan nak duduk di tanah tumpah darah Piya. Piya yang akan
kekal di sini..” . Belumpun sempat Adi menghabiskan ayatnya, Jariah mencelah.
“Adi. Akak
malulah dengan keputusan kau ni. Apa kata orang sekeliling nanti. Ahli keluarga
Tuan Malek kahwin dengan orang gajinya. Macam dah tak ada perempuan lain dalam
dunia ni. Punyalah jauh kau berjalan, dah berapa banyak negeri yang kau pergi.
Akhirnya, orang dalam rumah ni juga yang kau nak sambar. Apa yang Adi fikir
dalam kepala Adi hah? Carilah yang berketurunan baik-baik sikit. Ini tidak,
entah siapa emak bapanya, entah di mana kampung negerinya. Bukankah ada hadith
yang menyatakan wanita tu dikahwini berdasarkan keturunannya, hartanya”.
“Ye lah. Entah
apa ubat yang Piya hembus kat kau. Hish, orang pedalaman macam tu, boleh ke
percaya ilmu apa yang mereka amal? Kak dah dengar banyak dengar cerita bibik
pakai ilmu hitam ni. Last-last adik sendiri yang kena”, Jasmin menyampuk.
“Jasmin, mulut
kau jaga. Berdosa tuduh orang macam tu. Piya ni kami kenal. Dia tinggal dengan
kita bukan sehari dua. Mama tahu dia ni memang solehah”, Mami Ainun mencelah.
“Ye lah Kak
Min. Kak Piya solat awal waktu. Quran tak pernah tinggal. Bukan macam Kak Min.
Solat buat pakej, Zohor dengar Asar sekali. Itupun kalau rajin”, bidas Puteri
dengan geram, dia sememangnya begitu marah dengan Jasmin sejak pagi itu.
“Diamlah budak
kecik. Celik-celik kenal dunia nak lawan orang. Kalau aku tahu mulut jahat
macam ni, kecil-kecil dulu aku cekik”, bidas Jasmin.
“Sudahlah tu.
Kita nak bincang bukan nak bergaduh. Jasmin, Puteri, jaga mulut. Sampai abah
naik angin, korang berdua tak payah balik rumah”, jerkah Tuan Malek. Kedua-dua
puterinya itu terdiam.
“Sebenarnya
Piya tak mahu pada Adi. Adi yang mahu Piya. Bukan salah Piya pun. Salah Adi.
Adi yang pujuk Piya”, Adi membetulkan sangkaan mereka semua. Beberapa mata terbelalak
mendengar pengakuan ikhlas Adi itu.
“Wah, orang
kampungan macm itupun boleh pikat adik aku, seorang jurutera. Hebat, memang
hebat”, bidas Jasmin, terlupa dengan jerkahan ayahnya itu. Perkataannya yang
begitu berbisa, pasti akan melukakan hati Piya jika mendengarnya.
“Min,mulut kau
ni langsung tak menggambarkan kau ini seorang yang terpelajar. Mentaliti kau
memang jauh dari apa yang mama harapkan. Mama malu dengan sikap dan pandangan
kau tentang manusia. Sia-sia kau belajar sampai Amerika”, marah Mami Ainun, dia
mula panas hati.
Adi mengeluh
panjang. Dia memang tidak sukakan suasana rumah itu bila berkumpul. Hampir
tidak pernah aman jika abang dan
kakaknya pulang. Faktor itu jugalah yang membawa Adi jauh ke negeri orang. Dia
tidak aman dengan rumahnya sendiri.
“Abang. Apa
sebenarnya yang menghalang abang melepaskan Piya pada Adi?” soal Adi, ditujukan
pada Fakhrul. Fakhrul termanggu-manggu, kemudian bersuara.
“Adi. Selama
ini aku tidak pernah ceritakan pada sesiapa pun tentang perkara ini. Tapi hari
ini aku perlu beritahu. Aku tak dapat memberi perhatian pada mama dan abah.
Sedangkan itu tanggungjawab aku sebagai lelaki pertama dalam keluarga ini. Aku
sibuk. Aku ambil pembantu rumah untuk menjaga mama dan abah bagi pihak aku.
Akan tetapi, sepertimana yang kita tahu, semua pembantu rumah tidak tahan nak
tinggal lama di rumah ini. Semuanya lari. Aku cari pembantu rumah bukan
sekejap. Lama tempohnya abang peruntukkan untuk cari seseorang seperti Piya.
Piya aku ambil dari pesantren. Setelah aku risik dari beberapa kawan abang di
sana, siapa yang mereka lihat terbaik untuk menjaga orang tua yang sakit.
Mereka kata, di kalangan pembantu am memang tidak ada. Tapi di kalangan guru
agama memang ada. Dia memang terbaik dalam kerjanya. Aku mohon untuk ambil dia
dan bayar sejumlah wang pada persantren. Memang sukar untuk mereka lepaskan
Piya. Puas juga aku memujuk. Sehingga aku tawarkan sesuatu untuk pesantren.
Tidak perlukah kamu semua tahu. Mereka akhirnya lepaskan Piya padaku. Piya
terima tawaran ini demi pesantren. Sekarang kamu nak ambil Piya. Aku tidak ada
masalah dari segi penghinaan orang. Itu semua tidak penting buat aku. Aku
takut, kamu cuma menghargai dia ketika kamu mabuk kepayang dengannya. Setelah
kamu miliki dia, bagaimana? Adakah cinta itu akan kekal? Apa nasibnya kemudian
hari? Cuba kamu fikirkan? Bila Piya berhenti kerja, perjanjian abang dengan
pesantren bagaimana? Wang gaji yang abang hantar pada kampungnya untuk menyara
kaum keluarganya, bagaimana?”, soal Fahrul bertubi-tubi. Adi tercengang
mendengar luahan Fahrul itu. Dia sering kalah dengan abangnya yang tegas itu.
Mereka memang tidak ‘setuju angin’.
“Adi akan sara
keluarganya. Bukankah ketika itu Adi menantu mereka?”
“Aku ada
perjanjian mereka secara bertulis, bukan sekadar cakap-cakap mulut dan janji
manis, Adi. Aku malu jika pihak aku sendiri yang melanggar janji yang telah
dimeterai hampir lima tahun yang lalu”.
“Tidak bolehkah
kita berjumpa mereka untuk membincangkan semula perkara ini, Fakhrul? Abah
nampak tak ada salahnya kalau kita nak kembali berbincang. Mustahil pihak sana
tak terima keluarga kita. Lagipun, kita sudah biasa dengan Piya. Kalau Piya
jadi menantu abah sekalipun, Piya tentu akan jaga abah dan mama. Tak mungkin
dia biarkan abah dan mama begini. Kami dah kenal Piya. Dia memberi tenaganya
penuh keikhlasan, bukan kerana wang ringgit. Sekarang kau beritahu abah, apa
janji kamu pada pesantren. Abah akan tanggung bagi pihak kamu”.
“Itu juga
bukanlah masalah yang utama, abah. Fakhrul cuma perlukan seseorang yang boleh
mengambil alih diri Fakhrul untuk menjaga abah dan mama. Fahkrul tak mampu.
Kalau Adi ambik Piya, Fakhrul terpaksa cari pembantu lain untuk abah dan mama”.
“Tak perlulah
Fakhrul. Kau lepaskan Piya untuk Adi itu satu pengorbanan yang besar ertinya
untuk kami berdua. Kau pun tak perlu bayar lagi pada dia. Apa janji kau pada pesantren
biar kami yang teruskan”, tambah Tuan Malek lagi.
Fakrul diam dan
termenung, begitu panjang. Wajahnya yang segak tetapi serius itu kini menjadi
tumpuan semua ahli keluarganya.
“Kenapa kau nak
Piya ya? Boleh cari perempuan lain tak? Kau ni betul-betul menyusahkanlah…”,
Fahkrul menyoal Adi dengan rasa tidak puas hati. Adi tercengang mendengar
kenyataan Fakhrul. Dia mengalih
pandangan pada Tuan Malek, pandangan yang penuh mengharap.
“Fakhrul.
Sebenarnya tak ada isu pun. Tak ada satu masalah yang tidak boleh kita
selesaikan. Ataupun kau ada masalah lain yang ingin dibincangkan dengan mama
dan abah?”
“Fakhrul nak jumpa abah dan mama,
boleh?”pintanya dengan tegas. Semua yang berada di situ kehairanan.
“Selepas kita
selesaikan perbincangan ini, atau bila?”
“Kalau boleh,
sekaranglah”, kata Fakhrul. Tuan Malek memandang Mami Ainun. Mami Ainun
mengangguk.
“Ayuh, kita masuk
ke bilik. Kamu semua tunggu di sini”, arah Tuan Malek. Masing-masing yang
berada di situ mengangguk. Adi masih lagi kehairanan. Dia merasakan seolah-olah
wujud sesuatu rahsia besar yang tidak diketahuinya. Ketiga-tiga mereka masuk ke
bilik Tuan Malek.
“Apahal tu?”
bisik Jasmin.
“Selalu macam
tu kan, macam tak biasa saja kamu ni”, ujar Jariah.
“Itulah kau.
Macam tak ada orang lain kau nak sambar. Buat susah orang saja”, marah Jasmin
kepada Adi. Adi diam membisu. Segala perkataan orang lain tidak lagi penting
pada dirinya. Penderitaannya menahan perasaan selama ini lebih menyakitkan dari
segala-galanya.
Lama mereka
berbincang di dalam bilik itu. Hampir 20 minit kemudian, mereka keluar semula.
Fakhrul terus berdiri tegak di hadapan Adi. Wajahnya dialihkan kea rah tingkap.
“Baik. Sekarang
kau janji pada aku, kau dan Piya akan terus jaga mama dan abah sehingga akhir
hayat. Keutamaannya adalah mama dan abah,bukan kepentingan diri kau sendiri. Aku
ambil Piya untuk mama dan abah. Sebarang
apa yang menyebabkan hidup mama dan abah terjejas, aku akan tentang habis-habisan”,
balasnya dengan keras. Jantung Adi bagai direntap mendengar kalimat muktamad
Fakhrul. Adi sedar, Fakhrul tidak main-main dengan apa yang keluar dari
mulutnya. Dia tidak pernah main-main. Dia akan lakukan apa yang dikatakannya.
*********************************************************************************
“Alhamdulillah,
semua ahli keluarga ada di sini. Saya berharap semua dapat menerima dengan hati
yang reda, apa-apa sahaja yang telah ditentukan melalui hukum faraidh ini dan
apa yang telah diwasiatkan. Sememangnya perolehan apapun, tidak akan pernah
mencukupi sekiranya manusia itu tidak mensyukurinya. Ketentuan Allah SWT adalah
yang terbaik untuk kita dan haruslah kita yakini. Faham semua?”
“Faham,
Tuan Haji”, mereka sekeluarga menjawab hampir serentak.
“Baik.
Pemberian hibah yang telah tuan-tuan ketahui adalah pemilikan syarikat Sulung Megah
Sdn Bhd kepada tetuan Fakhrul Anwar bin Haji Abdul Malek, berlaku pada tarikh
21 Julai 2010, kira-kira setahun sebelum pemergian Allahyarham Haji Malek.
Betul begitu Encik Fakhrul?”
Fakhrul
mengangguk.
“Walaupun
begitu, pemberian hibah itu hanyalah tertakluk kepada syarikat semata-mata,
tidak termasuk keuntungan-keuntungan perniagaan yang terdahulu daripada itu.
Betul
Hajah?”
Mami
Ainun mengangguk.
“Baiklah.
Oleh sebab itu, keuntungan-keuntungan yang terdahulu itu telah kami bahagikan
selayaknya mengikut pengiraan Faraidh iaitu anak-anak lelaki adalah 2 bahagian
sementara anak-anak perempuan satu bahagian, ibu pula mendapat 1/8 daripada keseluruhan harta Tuan Malek kerana Tuan
Malek tidak mempunyai ibu bapa dan adik beradik lain lagi. Harta-harta
Allahyarham termasuklah tanah-tanah, wang-wang simpanan, wang-wang yang masih
dalam milikan penghutang, simpanan emas, rumah dan kenderaan. Namun begitu,
sebahagian daripada simpanan emas Allahyarham dan rumah adalah harta
sepencarian, justeru kami telah membuat pengiraan penolakan terhadap harta yang
termasuk di dalam milikan Hajah Ainun. Lalu berdasarkan bakinya yang bernilai
hampir RM60 juta ringgit, yang sebahagian besarnya adalah dalam bentuk tanah
estet, kami menolak pula 1/3 daripadanya untuk pembahagian wasiat pada
penama-penama yang terdiri dari beberapa Maahad Tahfiz dan Masjid-masjid di
sekitar kawasan inii. Bakinya, kami akan terlebih dahulu mengagihkan mengikut
wasiat hibah yang telah diamanahkan kepada pihak kami untuk disampaikan kepada
penama-panama yang telah diwasiatkan. Bakinya akan dibahagikan mengikut
faraidh, mengikut pecahan yang telah dinyatakan tadi. Dalam pembahagian
wasiatnya, Tuan Malek telah menyerahkan sebahagian hartanya kepada empat
anaknya iaitu Jariah Jalila, Jasmin Jalila, Adi Hatim dan Puteri Aisya Maisara,
terkecuali di dalam pemberian ini adalah Fakhrul Anuar kerana Fakhrul Anwar
telah mendapat bahagian yang dihibahkan iaitu Syarikat Sulong Megah Sdn. Bhd.
yang bernilai hampir RM25 juta ringgit”, Terang Tuan Haji Tamim.
Adi
mengerling Fakhrul. Wajah Fakhrul berubah serta merta mendengarkan makluman itu.
Wajah yang tadinya sedia merah menjadi begitu bengis kerana tidak berpuas hati.
Adi menoleh kepada Mami Ainun. Tangan Mami Ainun menggigil. Adi segera
mengenggam tangan Mami Ainun. Dia faham yang Mami Ainun berasa takut dengan
pengumuman itu. Adi mendekati ibunya. Tangannya memeluk belakang Mami Ainun,
dan menepuk-nepuk untuk mententeramkan hatinya.
“Berdoalah
mama agar semuanya jadi baik”, bisiknya di telinga Mami Ainun. Ibunya
mengangguk.
Hampir
20 minit kemudian, Tuan Haji Tamim menyelesaikan penyampaian pengiraan agihan
harta faraidh dan wasiat itu. Dia mengingatkan sekali lagi mengenai hak-hak
yang perlu dihormati dan keperluan mensyukuri segala nikmat. Dia juga
mengingatkan mengenai kepentingan menjaga ikatan kekeluargaan dan keharmonian
yang perlu dititik beratkan berbanding harta dunia. Adi mengangguk dan
mengucapkan syukur atas segala yang telah dikurniakan Allah SWT kepadanya. Mami
Ainun menitiskan air mata. Masing-masing bersiap untuk berangkat pulang. Jariah
dan Jasmin mendekati Mami Ainun dan mencium tangan serta mengucapkan terima
kasih kepada ibu mereka. Mami Ainun menunggu Fakhrul, namun lelaki itu tidak
berganjak dari kerusinya. Wajah mami Ainun bertambah sayu. Air matanya mula
bergenang. Dia tahu Fakhrul tidak setuju. Namun apa yang harus dikatakannya,
itu semua adalah keputusan Tuan Malek, pemilik harta berkenaan. Dia wajib
mentaatinya. Mami Ainun membuka mulut untuk memanggil anak sulungnya itu. Akan
tetapi Adi cepat-cepat menahan.
“Ayuh.
Tinggalkan tempat ini mama. Biarkan dia. Seorang anak tidak patut membiarkan
seorang ibu merendahkan diri untuknya”, bisik Adi. Dia segera melangkah ke
pintu dan memimpin tangan Mami Ainun. Puteri telah terlebih dahulu turun.
Mereka bergerak perlahan-lahan ke tingkat bawah. Adi dapat mengagak yang
sesuatu akan berlaku. Namun, dia tidak menghiraukan Fakhrul. Selepas membantu
Mami Ainun memasuki kereta, Adi tidak segera masuk ke dalam kereta, sebaliknya
dia menyuruh Puteri menjaga Mami Ainun.
“Abang
naik atas sekejap. Tengokkan mama”, bisiknya.
Adi
menaiki tangga ke atas. Sebaik tiba di atas, dia merapati badannya ke pintu dan
memerhatikan Fakhrul yang masih berada di dalam bilik itu. Fakhrul sedang bercakap-cakap dengan Tuan Haji Tamim.
Adi cuba meneliti butir-butir perbualan mereka.
“Kalau
Encik tidak setuju, encik kena buktikan yang harta berkenaan bukan sepencarian.
Akan tetapi kami rasa encik akan kalah dalam kes ini kerana setiap harta yang
diperolehi semasa dalam perkahwinan adalah harta sepencarian. Sekiranya encik
boleh buktikan yang encik juga berhak atas sumbangan Encik terhadap syarikat
itu, mungkin kes boleh diteruskan. Namun, umur Encik pada ketika itu adalah
terlalu muda dan ia tidak lebih dari membantu orang tua dalam perniagaan”.
“Kalau
saya boleh membuktikan berlakunya fraud dalam pemberian wasiat ini, bagaimana?”
terdengar suara Fakrul menyanggah. Suaranya begitu kasar, dia sememangnya
begitu marah. Kedua-dua peguam itu tercengang melihat kelakuannya.
“Terpulang
pada encik. Encik perlu mengambil peguam encik sendiri untuk melawan kes ini
bagi pihak encik. Kami tidak dapat berbuat apa-apa selain menyampaikan apa-apa
yang termaktub di dalam dokumentasi yang kami ada”.
Adi
menghembus nafas. Dia terasa begitu lelah dengan sikap Fakhrul. Dia segera
melangkah dengan hati-hati menuju ke bawah, khuatir mereka menyedari yang dia
mencuri dengar perbicaraan itu. Dengan segera dia memasuki kereta dan
menghidupkan enjin.
No comments:
Post a Comment