Genre : Thriller, Cinta , Kekeluargaan, Psikologi dan Kaunseling.
Penerbit : Institut Terjemahan dan Buku Negara
Komen Penulis : Buku ini sangat meruntun perasaan (aka. jiwang karat...) dan menyeramkan.
Belian online di sini: http://www.itnm.com.my/catalogue/buku/mawar_syurga/
SINOPSIS
Mariam berseorangan di tingkap yang sengaja dibuka seluas-luasnya. Seusai mengerjakan solat sunat istikharah dan tahajud, dia menongkat dagu di bibir jendela, memerhatikan alam yang terbentang luas. Sawah padi milik penduduk kampung terbentang luas di hadapannya. Kelihatan umpama lautan yang luas bila dipenuhi air. Genang-genang di air berkilauan, sesekali berkocak dek anak-anak ikan. Sawah padi itulah sumber rezeki mereka sekeluarga, selain dibantu kedai runcit milik ayahnya. Tulang empat kerat itulah yang selama ini menyara makan pakai dan pengajian mereka. Kini, tulang empat kerat itu telah lumpuh, pengelihatannya telah diambil balik oleh Si Empunya. Apakah lagi yang ada untuk meneruskan usaha?
Mariam memandang ke langit.
Melihat bulan dan bintang. Mariam menyedari satu hakikat. Ini adalah takdir.
Mariam harus terima. Tanpa bantahan. Mariam telah istigharah. Mariam seakan
nampak sesuatu yang Allah tulis untuknya. Mariam merasakan dia tidak sukar
untuk memahami. Mariam telah tamat pengajian. Allah SWT telah mentakdirkan ayah
jatuh seusai Mariam tamat pengajian. Mariam faham.
Hampir sebulan lamanya Mariam
telah mengambil alih sepenuhnya tugas ayahnya di kedai runcit. Selain itu
Mariam mengupah orang untuk tugas-tugas di sawah. Anak-anak padi telah diserak
sejak minggu lepas, sebaik sahaja tiba giliran tanah ayahnya menyerak. Tanah
mereka paling dekat dengan parit ban. Air ban terlebih dahulu memasuki tanah
mereka sebelum memasuki petak sawah orang lain. Setelah semua petak
ditenggelami air, air dialirkan keluar semula melalui parit ban itu. Petak
sawah yang telah sejat mula diserak. Habis semua petak sawah diserak baharulah
petak sawah ayahnya sejat. Maka merekalah yang terakhir menyerak padi. Semua
itu Mariam serahkan terus kepada Pak Long Non. Orang tua itulah yang mencari
orang untuk menguruskan semuanya.
Urusan yang menjadi tanggungannya
sekarang adalah kedai runcit ayahnya. Saban hari dia di kedai menguruskan
segala barang masuk dan keluar. Mengira untung dan rugi. Bukan mudah bagi
Mariam kerana sekian lama dia berjauhan di asrama. Sewajarnya Radzi yang
menguruskan kerana dia lebih mahir, lebih lama membantu ayah. Akan tetapi, Radzi
harus kembali ke universiti. Mariam berusaha mempelajari urusan kedai dari ibunya.
Mak Jah banyak membantu, namun kesibukan tidak mengizinkannya terlalu lama di
kedai. Suami yang sakit harus selalu dijenguk, makan pakai dan kecing beraknya
kena diurus. Justeru, Mariam sedaya upaya menyelesaikan sendiri segala urusan
kedai tanpa bantuan ibunya. Namun dalam kesukaran Allah SWT mengiringi
kemudahan. Seusai persekolahan, adik-adiknya datang membantu.
Mariam tidak bermasalah dengan
kerja-kerja yang banyak. Dia sudah begitu biasa. Namun permasalahan yang timbul
adalah keinginan hati yang amat sukar dipadam. Itulah yang paling memilukan.
Seringkali si ayah yang seakan menyedari keinginan Mariam membisikkan kata-kata
perangsang kepada Mariam agar tidak melupakan keinginan untuk sambung belajar
walau selewat mana sekalipun ditakdirkan. Pak Musa seakan memahami bahawa
Mariam tidak mungkin dapat meneruskan pengajian dalam masa yang singkat.
Terlalu banyak yang perlu diurus dan tiada siapa lagi yang boleh diharapkan.
Seringkali Mariam termenung jauh.
Jauh memikirkan apakah perancangan Allah SWT terhadap dirinya. Ya, keinginannya
tidak pernah padam. Sememangnya dia seorang yang begitu komited terhadap usaha
mencapai setiap apa yang diinginkan. Namun, ini adalah perancangan Allah SWT.
Allah SWT yang lebih tahu apa yang terbaik terhadap hambaNya. Siapakah dia
untuk mempertikai?
“Ayah, Yam tangguh dulu cadangan
untuk sambung belajar tu. Ayah jangan sedih ya. Yam pasti akan sambung satu
hari nanti”. Itulah ungkapan yang begitu berat yang disampaikan kepada Pak
Musa. Ungkapan yang menyebabkan Pak Musa tidak terkata apa-apa selama sehari.
*********************************************************************************
‘Maafkan Mar andai melukai hatimu.
Mar tidak berniat sama sekali. Mar hanya inginkan kebaikan untuk kita berdua’.
Itulah pesanan ringkas pertama
yang Mariam kirimkan pada Syed. Seharian Mariam menunggu respon. Namun hanya
kehampaan yang sudi menyinggah.
‘ Apakah yang harus Mar lakukan
untuk memujukmu? Berilah Mar peluang. Sampai bilakah Mar harus menunggu’
.
Begitulah bunyi pesanan ringkas
yang kedua. Namun hasilnya sepi. Hati Mariam membungkam.
‘Besar sangatkah dosa Mar itu
hinggakan dikau tak sudi memaafkan? Luahkan isi hatimu itu. Jelaskan pada Mar
agar Mar tidak akan mengulanginya.’
Pesanan ringkas yang ketiga juga
mengundang sepi.
Mariam hampir berputus asa. Dia
tidak lagi menghantar sebarang mesej. Dia menanti dari hari ke hari. Tiada apa
yang mampu memberikan harapan padanya untuk berusaha dan menanti melainkan
permintaan Puan Hindun dan mimpi manisnya bersama Syed.
Mariam bersolat hajat pada setiap
malam agar Allah SWT membuka jalan baginya. Bibirnya basah dengan zikir dan doa.
Adakalanya Mariam sendiri berasa hairan dengan sikapnya yang begitu gigih
berusaha mendapatkan Syed. Mungkin kegigihanlah yang menjadi asbab utama Tuhan
meletakkannya sebagai tunangan pemuda itu.
Ada kalanya Mariam berasa kesal.
Mariam kesal dengan kesusahan yang terpaksa dihadapinya bagi mendapatkan Syed.
Mariam terfikir bahawa biarlah jodoh ini tidak terjadi. Syed tidak ada apa-apa
yang hebat seperti yang dimiliki oleh teman-teman Mariam semasa di universiti.
Syed tidak belajar hingga ke peringkat univerisiti pun. Syed hanya seorang
peniaga. Mariam terfikir dia boleh memiliki pasangan yang jauh lebih baik dari Syed.
Kenapa dia perlu bersusah hidup bersama seorang yang sukar diurus?
Namun kemudiannya Mariam cepat-cepat
beristiqfar. Sejujurnya dia memang amat cintakan pemuda itu. Pemuda itulah yang telah meruntuhkan
tembok egonya yang tidak pernah berjaya diruntuhkan oleh lelaki-lelaki lain
hatta yang bergelar mahasiswa sekalipun. Pemuda itu jugalah yang mengajarnya
erti malu pada insan bergelar lelaki, melembutkan hatinya hingga kembali
mengalirkan air mata dan pemuda itdialah juga orangnya yang membawa Mariam
memasuki gerbang hidup berkasih yang manisnya tidak pernah dirasakan sebelum
ini.
Mariam pasrah kepada takdir. Petang
itu, selesai bersolat Asar dan berdoa panjang, dia menghantar pesanan ringkas
terakhir pada Syed. Sekiranya tiada balasan dalam bentuk apa sekalipun, dia bertekad
akan memulangkan cincin bertatah delima merah yang menghiasi jari manisnya itu.
‘Mar pulangkan cincin ini. Mungkin
Mar bukan ditakdirkan menjadi pemiliknya. Mar sedari siapalah diri ini. Cincin
yang cantik ini wajar dimiliki oleh insan yang hebat. Sehebat dirimu. Biarlah
Mar membawa diri bersama kenangan manis dan impian hidup bersamamu yang tidak
kesampaian’.
Mariam mengirimkan pesanan
ringkas itu lantas melangkah keluar dari kamarnya, langsung menuruni tangga
menuju ke luar. Dia mendongak memandang mentari petang, cuba mendapatkan sinar
cahayanya. Seakan mahu menerangkan hatinya yang terasa sugul. Dia tidak sanggup
lagi menyakiti hati dan perasaannya memikirkan semua itu. Disedutnya angin
petang yang menyegarkan seakan ingin menyimpan satu kekuatan dalam dirinya.
Namun kekuatan yang cuba disimpan itu meresap dan lenyap entah ke mana.
Mariam membawa diri ke sawah padi
yang luas terbentang. Dia menuruni petak sawah dan melalui batas-batas pemisah
sawahnya ke satu arah yang tidak dapat dipastikannya. Dia membiarkan kakinya
melangkah membawa tubuhnya yang tidak bermaya. Tudung labuhnya beralun-alun dipuput bayu petang. Mentari
terik menyinar tidak sedikitpun meninggalkan kesan bahang ditubuhnya. Suasana indah
dan nyaman di sekeliling tidak langsung meninggalkan kesan di hati Mariam.
Mariam menghentikan langkahnya setiba di pepohon kelapa gading di tengah sawah.
Dia membiarkan tubuhnya terjelepuk di atas rumput. Matanya memandang kosong di
ufuk barat.
Kesayuan menguasai segenap ruang
dadanya. Terasa bagaikan satu hembusan bayu dingin yang begitu perlahan dan
halus menikam lubuk hatinya. Terlalu sukar untuk digambarkan perasaan itu. Ia begitu
menyakitkan. Ia melambai jiwa seolah-olah membawa sekeping hatinya pergi jauh
mengikut hembusan angin. Air mata adalah penyudah yang tiada membawa sebarang makna.
Matanya ditutup rapat, cuba melupakan segala-galanya.
Hampir Mariam terlelap apabila
bunyi pesanan ringkas memasuki telefon bimbitnya. Nombor yang tidak dikenali
terpapar. Air mukanya berkerut memandang nombor itu. Hatinya tidak berkeinginan
untuk melihat isinya, namun jari-jemarinya begitu cepat membuka pesanan ringkas
itu.
‘Indah sungguh sawah padi itu,
bukan?’ tercatat mesej ringkas di situ.
Mariam tergamam. Lantas dipandangnya
sekeliling. Dilihatnya tiada siapa di situ.
‘Siapa ni?’, Mariam
membalas mesej. Hatinya menjadi gundah.
Pesanan ringkas dibalas semula: ‘Yang
ditunggu’
‘Siapa?’ balas Mariam.
Dia merasa cuak.
Mesej berbalas: ‘Imran’.
Syed? Ahhh…
Mariam menarik nafas panjang.
Perasaannya bercampur baur. Sekali lagi dia memandang sekeliling. Hatinya diulit
risau..
‘Awak dimana?’
Mesej berbalas: ‘Sedang
melihat awak’.
Mariam bingkas bangun.
Dipandangnya sekeliling. Dia pasti tiada sesiapa di situ. Keadaan lapang dan
sunyi.
‘Saya tak nampak awak pun?’
balas Mariam.
Mesej berbalas: ‘Melihat
tak semestinya dengan mata’
Mariam menghela nafas lega.
Memang Syed tiada di situ. Pemuda itu memang bijak mengenakan serkap jarang.
Satu lagi mesej memasuki kotak
pesanan ringkas. Mariam membuka.
‘Tadi saya call. Mak Jah kata
awak berjalan ke sawah’
Mariam mengurut dadanya. Patutlah
Syed tahu dia berada di sawah. Ahhh, Adakalanya Syed menjadi begitu misteri.
‘Kenapa call?’ Mariam
membalas mesej.
Mesej berbalas : ‘Awak
yang suruh saya call’
“Betul juga”bisik hati Mariam.
‘Kenapa tiba-tiba awak berubah
hati?’ Mariam menghantar mesej.
Mesej berbalas. ‘Saya
tak pernah berubah hati’.
‘Habis kenapa awak buat saya macam
ini’ balas Mariam.
Mesej berbalas : ‘Saya
harap awak yang akan berubah hati bila saya buat macam ni’
Mariam semakin sukar memahami
maksud pemuda itu.
‘Kenapa begitu?’ tanya
Mariam
Mesej berbalas : ‘Saya
jauh dari apa yang awak harapkan’
Mariam mula memahami maksud
pemuda itu. Dia lantas teringat sebutan Puan Hindun tentang ‘inferiority complex’.
Satu lagi mesej memasuki kotak
pesanan: ‘Saya takut awak kecewa lebih
teruk selepas kita ada hubungan’
Perasaan sedih menujah hati
Mariam. Kini dia mula memahami.
‘Awak buat saya terseksa’
Mariam menulis.
Mesej berbalas : ‘Adakah
saya tidak terseksa?’
Air mata Mariam mula turun.
Satu lagi mesej memasuki kotak
pesanan: ‘Kenapa awak tidak tinggalkan
saya. Saya dah buat awak terseksa’
‘Saya suka awak’ Mariam
membalas seikhlas hatinya.
Hatinya terasa tenang kini.
Hatinya yang membungkam selama lebih dua minggu kini menjadi cair dek panasnya
bahang kasih.
Mesej itu tidak berbalas. Mariam
senyum. Dia tahu Syed sedang dibuai perasaan.
‘Kenapa pakai nombor ni?’
Mariam mengirim mesej lain.
Mesej berbalas : ‘Hp
saya kredit habis. Awak masih di situkah? Baliklah. Jam dah pukul tujuh ni’.
‘Biarlah Mar hilang disorok jin
dalam bendang ni. Tak da siapa yang sayang Mar’, Mariam menghantar
mesej berbunyi rajuk.
Mesej berbalas : Jangan
begitu. Jagalah diri awak untuk saya. Saya tak nak apa-apa jadi pada awak’.
Mariam membalas mesej terakhir : ‘Baiklah
arjunaku….’
Mariam tersenyum. Dia bingkas
bangun meninggalkan sawah padi yang semakin kelam.
Mariam dihantar Syed setiap kali
ke kuliah. Lelaki itu sanggup menungu Mariam di wakaf yang terletak di luar
bilik kuliah. Ada kalanya Mariam melirik melihat suaminya dari tingkap bilik
kuliah. Syed tertidur di wakaf dek keletihan seharian menghantar barang dan
mengangkat guni-guni beras turun dari lori ke kedai-kedai runcit. Kerja itu
begitu memenatkan. Syed memerlukan rehat yang cukup. Tiba waktu Maghrib, Syed
akan bergegas ke Masjid Universiti untuk menunaikan solat. Mariam mengambil
sedikit masa kelas untuk keluar bersolat di musolla yang terletak di tingkat
atas bangunan Pusat Pengajian Pendidikan. Seusai solat, keadaan semakin kelam.
Syed mengubah lokasi menunggunya di kerusi batu yang terletak di ruang legar
bangunan. Itulah yang dilakukan setiap kali menunggu Mariam di kuliah.
Kakitangan-kakitangan Pusat Pengajian sudah mengenali Syed. Kehadiran lori
beras itu telah menjadi pemandangan biasa bagi mereka. Ada di antara mereka
menegur dan berbual-bual dengannya. Tidak kurang kawan-kawan Mariam yang sudah
berumah tangga menyatakan kecemburuan mereka dengan layanan yang diperolehi
Mariam. Selesai kelas, Mariam akan turun mendapatkan Syed yang sering tertidur
di kerusi. Bintil-bintil peluh memenuhi wajahnya akibat kepanasan berada di
luar. Seringkali air mata Mariam jatuh melihat keadaan Syed. Dia sebenarnya
tidak sanggup melihat kesusahan suaminya itu. Namun apa boleh buat, itu
kehendak Syed sendiri. Syed begitu keras dengan kehendak hatinya. Selesai
kelas, kedua-duanya tidak terus pulang. Mereka bersolat Isyak di masjid
terlebih dahulu sebelum berhenti makan di mana-mana kedai makan sepanjang jalan
ke rumah.
Mariam telah belajar sesuatu tentang Syed melalui kelas
yang dihadirinya beberapa hari yang lalu. Perkataan ‘archeopsyche’ yang diperkenalkan oleh seorang pemikir bernama
Berne didapati begitu berkaitan dengan diri Syed. Archeopsyche yang bermaksud ‘child ego’. Melalui apa yang dikajinya
melalui kekasih hatinya itu, Syed memiliki ‘child
ego’ yang teramat tinggi. Namun Mariam tidak pasti dari mana punca hadirnya
‘child ego’ yang begitu tinggi itu.
Kemungkinan jangka umur yang begitu jauh dari saudara kandungnya yang lain,
menyebabkan kasih ibu bapanya tertumpah sepenuhnya pada Syed, menyebabkan
pengembangannya agak jauh berbeza dari saudara kandungnya yang lain. Syed dilayan
seperti seorang kanak-kanak walaupun disaat dia telah dewasa. Segala
keperluannya diurus sepenuhnya oleh ibu bapanya, segala keputusannya juga
bergantung penuh kepada kedua ibubapanya. Ya, Syed memiliki semua ciri-ciri child ego yang disenaraikan dari buku
yang dibaca oleh Mariam. Sikapnya yang keras dengan kehendak hatinya, namun ada
kalanya begitu patuh, selain sangat beremosi sehingga sukar ditafsirkan apa
yang akan menjadi punca letupan lahar berapinya. Selain itu Syed juga seorang
yang kreatif. Dia mempunyai apa yang Mariam istilahkan sebagai ‘golden hand’. Apa sahaja kerosakan
membabitkan litar dan elektronik, dia dengan semudahnya menyelesaikan. Tetapi
bukan dengan cara yang terdapat dalam manual, sebaliknya dengan cara lain yang
tidak kurang hebatnya. Syed juga pandai bertukang. Terdapat banyak perabot di luar
rumah, termasuklah rumah burung dan reban ayam dibinanya sendiri. Syed sukakan
alam, flora dan faunanya. Dia begitu akrab dengan alam. Menurut Puan Hindun,
Syed menghabiskan masanya di luar rumah berjam-jam lamanya, seorang diri dengan
memasuki hutan-hutan berhampiran. Tidak hairanlah Syed begitu pakar dengan
berenang dan menyelam. Kesemua ilmu dan kemahiran itu seolah-olah terolah
cantik dalam benaknya dan boleh digunapakai semula pada bila-bila masa yang
diperlukan.
Sejak Meriam mengetahui hakikat itu dia merasakan dirinya
dapat mengenali suaminya dengan lebih rapat lagi di samping melihat segala
tindakan yang diambil Syed dalam aspek yang berbeza. Melalui kefahaman itu,
Mariam dapat lebih bersabar di samping tidak lagi menyalahkan Syed ataupun
dirinya sendiri sekiranya Syed beremosi. Situasi negatif yang berlaku dapat
dikawal dengan baik malah dapat dielak kerana Mariam dapat mengesan dengan
lebih awal. Kini Mariam berasa lebih bersyukur dengan segala nikmat yang
dikurnia Allah SWT untuk mereka berdua.
Hampir dua bulan kemudian, Mariam mempelajari satu perkara
baru mengenai psikologi kanak-kanak. Doktor Sharina yang mengajar mereka telah
memberikan satu senarai semak kepada semua pelajar dan menyuruh mereka mencari
satu sampel di kalangan kanak-kanak yang mereka kenali. Pada awalnya Mariam
mengambil Ikhwan sebagai sampel, namun akhirnya Mariam dapati ciri-ciri yang
disenaraikan lebih mirip kepada Syed. Mariam begitu terperanjat dengan dapatan
senarai semak itu. Syed seorang dewasa, namun dia memiliki hampir kesemua
ciri-ciri Oppositional Defiant Disorder
yang disenaraikan. Mariam hampir ketawa, namun sebaik dijelingnya kekasih
hatinya yang sedang tertidur di wakaf, dia berasa begitu sedih. Air matanya
serta merta bergenang. Mariam membacakan satu persatu ciri-ciri itu yang
disenaraikan iaitu sifat negatif, kasar, suka membantah, suka bersalahan
pendapat dengan ibu bapanya, sering naik darah, mudah marah apabila diprovokasi
oleh pihak lain, pendendam, suka mengawal, hyperaktif, murung, suka menyalahkan
orang lain atas segala kesilapannya dan pandai memanipulasi reaksi orang ke
atas segala tindakannya. Mariam menelan air liur, terasa perit di kerongkongan.
Sebahagian besar ciri-ciri yang tersenarai memang sedia ada pada diri Syed.
“Hai Mariam, termenung jauh nampak”, tegur Dr Sharina.
Mariam tersintak. Cepat-cepat menyapu wajahnya.
“Kenapa. Ada anak saudara awak yang termasuk dalam
kategori itu? Kalau ada 80 persen dari ciri yang tersenarai, memang dia ada ODD
dalam dirinya”, tambah Dr Sharina. Mariam cepat-cepat mengangguk.
“Doktor, bagaimana kalau ODD ada
pada orang dewasa?” Mariam meminta kepastian.
“Orang dewasa? Kebiasaannya ODD
ni akan hilang sebahagiannya bila kanak-kanak itu telah menginjak dewasa.
Kebiasaannya semakin menginjak dewasa pembelajaran komunikasi interpersonal
yang mereka lalui akan mengurangkan pergantungan kereka dengan sifat-sifat ini.
Pemikiran yang rasional akan timbul dari semasa ke semasa dalam fikiran mereka.
Tapi tak tahulah saya, mungkin ada kes-kes terpencil yang mana orang
dewasa masih dikawal ciri-ciri ODD yang
banyak. Saya melihat ini sangat berkaitan dengan cara didikan yang diberikan
ibu bapa individu berkenaan di rumah. Tapi jika ini terjadi, sungguh kasihan. Orang
ini mungkin akan tersisih di kalangan masyarakat”, terang Dr Sharina dengan
panjang lebar.
Mariam mengangguk, namun dia
tidak dapat menerima kenyataan itu. Mungkin benar Syed memiliki ODD namun Syed
diberi kekuatan lain yang diturunkan dari ibunya iaitu sifat penyayang yang
begitu tinggi. Selain itu, Syed sering memikir kembali segala tindakan yang
telah diambilnya dan dia sering kali akan memperbaiki kembali kesilapan yang
telah dilakukannya akibat emosi yang tidak menentu. Syed juga ceria dan nakal serta
suka mengusik. Mariam mengeluh, terfikir dia akan sikap Syed selama ini.
Walaupun Syed mempunyai banyak ciri bermasalah, namun dia juga memiliki sikap
positif yang banyak. Mariam melirik memandang suaminya yang masih tertidur.
Pengorbanan Syed…Ah.. Tidak mungkin terbeli dengan wang ringgit.
Mariam cepat-cepat naik ke atas
semula. Tiba di atas dia tercungap-cungap. Pintu bilik kuliah dibukanya.
Beberapa orang kenalan yang tidak begitu akrab dengannya sedang mengerumuni Dr
Marlia, berbincang mengenai tajuk disertasi. Teman-teman rapatnya tiada di
situ. Semuanya sudah pulang. Mariam menegur kumpulan itu.
“Maaf, boleh pinjam hand phone?”. Kumpulan itu menoleh ke
arahnya.
“Saya nak mintak pinjam handphone? Handphone saya tertinggal. Saya nak call suami saya. Dia ada di masjid”, terangnya dengan lembut.
Seseorang menghulurkan telefon bimbit kepadanya. Mariam menyambut lantas
mendail nombor Syed.
“Hello, abang”.
“Mar? eh.. dah habis kelas ke?”
“Ye bang. Mar tertinggal handphone. Abang cepat ambik Mar. Kelas
dah lama habis. Orang pun dah tinggal berapa orang je”.
“Ok..ok. Tunggu dalam kelas ye.
Jangan pergi mana-mana. Nanti abang ambil di kelas”.
“Mmm..cepat sikit bang”.
Mariam memulangkan telefon itu
dan mengucapkan terimakasih. Dia menunggu di kerusi berdekatan pintu bilik.
“Hmm.. Mariam. Awak nak tunggu
sini ke? Saya nak kunci pintu bilik ni. Mintak maaflah. Awak tunggu di bawah
boleh?” tegur Dr Marlia. Mariam mengangguk. Dia cepat-cepat turun ke foyer.
Kesemua pelajar yang tinggal tadi bergegas keluar menuju ke parkir.
Masing-masing mahu cepat pulang.
“Suami awak rajin betul menunggu
ye?” tegur Dr Marlia ketika lalu di hadapannya menuju ke parkir. Mariam
tersenyum, menggangguk.
Sebuah demi sebuah kereta
meninggalkan pusat pengajian. Mariam mula kerisauan. Syed belum menampakkan
dirinya. Mariam berdiri betul-betul di bawah lampu foyer. Dia berharap Syed
cepat nampak dirinya di situ.
Tiba-tiba Mariam terdengar bunyi
pintu bilik ditutup. Mariam terdengar derap kaki menuju ke bawah. Dia kaget.
Matanya pantas memandang ke tangga.
“Ada orang belum balik?” bisiknya.
Hatinya berdebar-debar. Hanya beberapa buah kereta sahaja kelihatan di parkir.
Derap kaki semakin hampir. Bunyinya seperti derap kaki seorang lelaki. Mariam
mula kecut perut.
*********************************************************************************
Sebaik Mariam bertolak pergi,
Puan Hindun mendail nombor telefon Syed.
“Salamualaikum Imran”.
Syed mendengar tetapi tidak
menjawab.
“Balik nak. Umi ada hal nak cakap
sikit. Balik cepat”, suruh Puan Hindun lalu meletakkan telefon. Kira-kira 10
minit kemudian, Syed menjengul wajahnya di ruang tamu. Wajahnya sugul. Puan
Hindun menarik tangan Syed, mengajak anak kesayangannya itu duduk berhampiran
dengannya.
“Sampai bila Imran nak buat macam
ni?” soalnya. Syed diam menyepi.
“Cuba cakap kat Umi? Sampai bila?
Sampai Mariam lari meninggalkan rumah ni?”
Syed tersintak. Dia memandang
wajah ibunya seperti tidak percaya.
“Mariam mana Umi?” soalnya
tiba-tiba.
“Kenapa tanya Umi. Imran yang tak
ambil kisah pada dia bukan?” bidas Puan Hindun. “Imran tahu tak, hati Umi
menangis tengok Imran buat begini pada isteri dan anak Imran”.
Syed tidak bersuara. Wajahnya
dibayangi kecelaruan.
“Kenapa kita mesti hidup dengan
meletakkan nafsu amarah kita di hadapan? Sehingga perkara yang benar menjadi
salah? Atau perkara yang benar disalah ertikan kerana tidak memberi peluang
kepada pihak lain untuk memberitahu perkara sebenar? Apa hasil yang kita dapat
dengan sifat yang begitu? Apa kebaikannya? Tolong bagitau Umi”, Puan Hindun
menyebut satu persatu dengan linangan air mata.
Syed melihat air mata ibunya
jatuh. Di hatinya terselit satu perasaan yang amat sukar digambarkan.
“Imran tahu tak, Mariam cari
bayangan Imran sampai ke air terjun di bukit sana? Umi menangis sebaik Mariam
pergi sehinggalah Mariam pulang semula!”
Syed terlopong. Serta merta
ingatannya terhadap kenangan siang pertama mereka menerjah ke benaknya. Hatinya
menjadi sayu.
“Imran. Penderitaan yang
terlampau akan menghakis setinggi manapun kasih sayang yang dibina. Kalau Imran
tak nak berubah, Umi pasti satu hari nanti Mariam akan tinggalkan kau nak. Masa
tu, Imran menangis air mata darah pun tidak ada gunanya lagi”, sambung Puan
Hindun lagi dengan suara mengigil.
“Mariam pilihan Abi untuk Imran
dan Abi jarang tersilap apabila memilih. Mariam tinggal bersama kita dan
berkorban segala kebebasannya demi kita sekeluarga. Mariam tak pernah buat
sesuka hati, semua yang nak dilakukannya akan diminta kebenaran terlebih dahulu.
Imran pernah tengok tak Mariam menarik muka masam atau mengangkat tinggi
suaranya kepada Imran? Pernah tak? Kalau Imran marah dia sekalipun, dia tidak
pernah memberontak, hanya air mata mentafsirkan hatinya”, Puan Hindun melepaskan
segala yang terbuku di hatinya, kemudian menarik nafas panjang. Dadanya terasa
sesak.
“Mariam itulah yang kami harapkan
untuk jaga kami bila dah sakit nanti”.
Syed tunduk memandang lantai.
“Mar beri perhatian pada doktor
tu”, balas Imran yang sejak tadi menyepi.
Puan Hindun menghela nafas. Kemudian
dia menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Nak, satu-satu perkara yang
terjadi pada kita, kita jangan mulakan dengan marah terlebih dahulu. Selidik. Selidik
sebab apa ia terjadi. Lihat dengan mata hati, jangan lihat dengan mata kepala
sahaja. Allah SWT beri pada kita sebagai ujian. Maknanya perkara itu adalah
pemberian Allah SWT untuk didik diri kita. Wajarkah kita ambil satu pemberian
Allah SWT dengan kemarahan?”
“Kalau kita ada keyakinan diri
yang kuat, kita tidak akan terkesan walau saingan kita itu berjawatan apa
sekalipun. Mariam hak kau. Kalau kau pertahankan hak kau itu semua orang pun
akan hormat. Kalau Imran beri kasih sayang dan menjalankan tanggungjawab yang
sempurna kepada Mariam, kenapa Imran perlu takut? Wanita tidak semudahnya lari
kepada lelaki lain hanya kerana lelaki itu berharta dan berpangkat. Wanita yang
baik mementingkan nilai-nilai murni dalam perhubungan, bukan nilai material. Umi
nampak tindakan yang Imran ambil ni adalah akibat dari ketakutan yang ada dalam
dirimu sendiri, nak”.
Syed mengangguk. Dia benar-benar
tunduk. Setitis air matanya jatuh ke karpet.
“Lagi satu Imran. Mendidik isteri
bukan dengan cara melarikan diri atau merajuk. Sejak kau berumahtangga, dah
berapa kali kau merajuk? Merajuk itu tidak memberi apa-apa hasil positif dalam
perhubungan. Apatah lagi kau seorang suami, ketua keluarga. Imran perlu ada
kekuatan dalaman sebagai ketua keluarga. Kekuatan untuk menahan hati dan
bersabar atas apa sahaja yang menimpa. Itulah kekuatan yang sebenar. Bukan
kekuatan tubuh badan saja”.
“Imran tak boleh kawal perasaan,
Umi. Imran rasa teruk sangat bila berlaku sesuatu”.
“Umi faham. Imran boleh cool down dengan banyak cara. Satunya,
dengan mendapatkan penjelasan, dengan penjelasan kita boleh mengelak salah
faham. Keduanya, letakkan kepercayaan. Kepercayaan dapat mengelakkan prasangka
buruk. Kadang kala perkara yang berlaku tu sedikit saja, tapi ia jadi besar
disebabkan prasangka-prasangka buruk yang kita cipta sendiri dalam kepala kita.
Ketiga, maafkan kesalahan yang lalu. Dengan memaafkan kita akan bersih dari
segala dendam. Hati kita pun tenang. Keempat, banyakkan beramal. Ingati Allah
SWT. Sesungguhnya dengan mengingati Alah SWT, hati akan menjadi tenang. Marah
itu dari Syaitan, Imran. Kalau kita beramal, malaikat akan hadir dan syaitan
akan lari. Hilanglah marah itu. Kalau kita meletakkan marah semata-mata kerana
Allah SWT, perkara-perkara macam ni tidak akan terjadi”, hujah Puan Hindun
mematikan akal Syed.
“Bagaimana kita nak tahu pasangan
kita tu tidak curang? Entah-entah di belakang kita dia ada hati pada orang
lain” Syed meluahkan rasa hatinya yang masih bersisa.
“Imran. Imran percaya pada Allah
SWT tak?”
Imran mengangguk.
“Imran solat bukan? Imran buat
segala suruhan Allah SWT. Imran lelaki jahat ke?”
Syed mengeleng.
“Imran percayalah janji Allah SWT
bahawa perempuan yang baik untuk lelaki yang baik, lelaki yang baik untuk
perempuan yang baik. Tak mungkin Mariam sengaja berlagak baik selama bertahun
hidup dengan Imran sedangkan Imran tidak memiliki harta dunia yang banyak pun
untuk diberikan kepadanya”.
Syed mengeluh panjang.
“Doktor tu suka pada Mariam.
Imran dapat rasakan”.
“Kalau doktor tu yang suka pada
Mariam, itu salah doktor tu. Bukan salah Mariam. Imran tak dapat beza ke?”
“Imran tau Umi. Semua tu Imran
sedar. Tapi hati Imran….susah nak kawal bila sudah emosi”.
“Ya, sampai buat Mariam sesak
nafas dan pitam hari tu bukan?” soal Puan Hindun. Syed tersintak, disangkanya
ibunya tidak mengetahui perkara tersebut.
“Terkejut pulak? Dipekiknya
sampai bergema satu rumah. Takkan Umi tak tahu”.
Syed terasa begitu malu pada
ibunya sendiri.
“Imran. Suami isteri kena ada
tautan kasih sayang. Isteri hormat dan kasih pada suami. Suami sayang dan
melindungi isteri. Isteri tidak boleh hidup dengan ketakutan kepada suami
sepanjang masa dalam hidupnya. Dia akan menderita. Penghormatan datang bukan
dengan cara paksaan. Penghormatan datang dari kasih sayang. Penghormatan
bukanlah satu yang boleh dibuat-buat. Mariam boleh taati Imran dengan cara
paksaan yang keras, namun yang Imran dapat hanya tubuhnya, bukan hatinya”.
“Mariam mana Umi”, soalnya sekali
lagi. Puan Hindun menggeleng.
“Dia dah pergi kuliah. Umi suruh
dia contact kawan India yang tinggal
kat kampung sebelah.”
Syed diam. Dia teringat akan hari
itu adalah hari kuliah Mariam.
“Baliklah nak. Jangan siksa dia.
Jangan sampai dia sakit atau Allah cabut nyawanya dalam keadaan menderita
akibat kegagalan Imran menjalankan tanggungjawab sebagai suami yang baik. Kita
ambil dia dahulu dalam keadaan begitu baik dan begitu cantik dari ibu bapanya.
Kita tak patut biarkan dia hidup di sini dengan menderita dan akhirnya dia
pulang kepangkuan ibu bapanya dengan kenangan pahit. Kalau ini terjadi pada
Mariam, Umi tidak reda dengan Imran”. Puan Hindun memberi kata putus. Syed
terpana mendengar kata dua ibunya, sejurus kemudian dia mengangguk.
Malam itu, sebaik Mariam menjejak
kakinya ke dalam bilik, Syed telah menanti di muka pintu. Dalam kesamaran bilik
itu, Syed memeluk isterinya, membuatkan Mariam hampir menjerit kerana
terperanjat. Namun apabila disedari itu suaminya, Mariam terus diam membisu.
Syed menyedari perasaan Mariam yang terbuku, dia langsung membisikkan sesuatu
ditelinga Mariam.
“Masih adakah ruang dalam hati
Mar pada abang yang banyak dosa ni?”
No comments:
Post a Comment